top of page
Search

PELAJAR PEREMPUAN DOMINASI SKIM 1P1PP

  • p_k
  • Apr 23, 2017
  • 2 min read

Perasmian YPGO Unimas

Perasmian YPGO oleh Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan (lima dari kiri).

KOTA SAMARAHAN: Pelajar perempuan mendominasi Skim 1Pelajar 1Pendaftaran Perniagaan (1P1PP) sebagai sebahagian usaha menerap budaya keusahawanan serta menggalak belia menceburi bidang perniagaan.


Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Henry Sum Agong berkata, berdasarkan statistik sehingga 13 April tahun ini, seramai 4,767 pelajar perempuan daripada jumlah 8,286 orang telah memohon di bawah skim tersebut berbanding pelajar lelaki hanya 3,895.


“Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah meluluskan geran RM10 juta untuk semua pelajar dikenali sebagai Skim 1P1PP dan ini merupakan peluang keemasan untuk pelajar bagi menjadikan perniagaan sebagai satu kerjaya pilihan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Karnival YoungPreneur GO (YPGO) yang disempurnakan Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan di Dewan DeTAR PUTRA Universiti Malaysia Sarawak di sini semalam.


Menyentuh mengenai YPGO, Henry berkata, karnival itu bagi memberi kesedaran dan pengetahuan pelajar mengenai kepentingan mendaftar entiti perniagaan sama ada perniagaan itu dijalankan secara ‘online’ atau tidak.


“Ini penting bagi memastikan setiap perniagaan yang dijalankan di negara ini mematuhi undang-undang ditetapkan,” tegasnya lagi.


Selain itu, katanya penganjuran karnival YPGO yang diadakan dua hari bermula semalam itu berkonsepkan santai dan menyeluruh sambil menekankan kepada pengisian ilmu keusahawanan.


“Melalui karnival ini, SSM dapat menampilkan individu tertentu mempunyai kepakaran dalam bidang keusahawanan termasuk mereka berjaya dalam bidang perniagaan bagi berkongsi tip dan pengalaman.


“Karnival ini juga turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pertandingan, pameran, gerai jualan dan sebagainya,” kata Henry lagi.


Sesi 'Talkshow bersama Ikon Negara' oleh Datuk Khairun Aseh, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SSM Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, setakat ini seramai 95 pelajar telah mendaftar menerusi karnival yang dianjurkan itu.“Sebanyak 95 peratus daripada jumlah itu terdiri daripada pelajar perempuan yang kebanyakan mereka mengusahakan perniagaan pakaian,” ujarnya.


Karnival YPGO turut dihadiri oleh Dato’ Muhammad Khairun Aseh, Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, yang juga berkongsi pengalaman dan pandangan dalam sesi “Talkshow bersama Ikon Negara”.

Sumber : https://www.pressreader.com/malaysia/utusan-borneo-sarawak/20170423/281994672373600

 
 
 

Comments


bottom of page