PM MULAKAN LAWATAN KE CHINA
- p_k
- May 11, 2017
- 2 min read

BEIJING 11 Mei – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan lawatan kerja ke China selama lima hari mulai esok hingga 16 Mei ini, atas jemputan Presiden China, Xi Jinping.
Duta Besar Malaysia ke China, Datuk Zainuddin Yahya berkata, dalam lawatan berkenaan, Najib yang ditemani oleh isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor, akan menghadiri Belt and Road Forum (BRF) for International Cooperation pada 14 hingga 15 Mei.
“Lawatan ini juga merupakan simbol keakraban antara Perdana Menteri dengan pemimpin-pemimpin China. Kesinambungan pertukaran lawatan di peringkat tertinggi antara kedua-dua buah negara adalah amat penting dalam konteks memupuk persefahaman dan mempertingkatkan lagi hubungan dan kerjasama dua hala,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Perdana Menteri yang dijangka tiba petang esok dan diiringi menteri- menteri Kabinet, Setiausaha Politik beliau, Dato’ Muhammad Khairun Aseh, dan pegawai-pegawai kanan kerajaan, dijadualkan melawat Hangzhou dan Beijing.
Di Hangzhou, Najib dijangka bertemu Pengerusi Alibaba Group, Jack Ma dan menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Malaysia Digital Economy Corporation Sdn. Bhd.(MDEC) dengan Hangzhou Municipal Government dan Alibaba (China) Company Limited.
Pada masa sama, Najib dijadualkan menerima kunjungan hormat Setiausaha Parti Wilayah Zhejiangyang, Che Jun yang menjadi tuan rumah Majlis Makan Tengah Hari bagi meraikan Perdana Menteri dan delegasi Malaysia.
Sementara itu di Beijing, selain menyertai BRF, Perdana Menteri akan turut mengadakan kunjungan hormat dan mesyuarat delegasi bersama Xi Jinping dan juga mesyuarat dua hala dengan Perdana Menteri China, Li Keqiang pada 13 Mei.
Zainuddin berkata, BRF bakal menyaksikan kehadiran seramai 28 pemimpin negara dunia selain Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Presiden Bank Dunia.
Beliau berkata, Najib telah dijemput untuk berkongsi pandangannya semasa Majlis Makan Tengah hari Kerja dan Meja Bulat Pemimpin-Pemimpin mengenai dua tema Promote People-to-People and Cultural Exchange dan Promote Pragmatic Cooperation Especially in Connectivity to Achieve Interactive Development.
“Delegasi Malaysia akan turut mengambil bahagian di dalam sesi-sesi tersebut yang mana beberapa pernyataan bersama merangkumi hasil perbincangan para peserta dijangka dikeluarkan pada penghujung sesi-sesi berkenaan,” kata beliau.
Katanya, China merupakan rakan dagang Malaysia yang terbesar tujuh tahun berturut-turut sejak tahun 2009.
Pada tahun 2016, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan China meningkat sebanyak 4.4 peratus berbanding tahun 2015 dengan jumlah RM240.91 bilion.
Eksport ke China telah meningkat sebanyak 2.9 peratus dengan jumlah RM98.56 bilion dan import juga mencatat peningkatan sebanyak 10.1 peratus iaitu bersamaan RM142.35 bilion berbanding tahun sebelumnya. – UTUSAN
Sumber : http://www.utusan.com.my/mobile/berita/nasional/pm-mulakan-lawatan-ke-china-1.480291
Comments