top of page
Search

PIALA FA : KEDAH MARA KE FINAL

  • putrajayakingdom
  • May 13, 2017
  • 1 min read

Foto : Kedah FA


KUALA TERENGGANU: Kedah mara ke final selepas meranapkan impian Skuad Penyu dengan kemenangan bergaya 3-0 dalam aksi separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, sebentar tadi.


Skuad Helang Merah mara ke perlawanan akhir dengan agregat 4-0 selepas mencatat kemenangan 1-0 dalam aksi pertama di Stadium Darul Aman, pada 30 April lalu. Sebaik wisel permulaan, tuan rumah melancarkan serangan untuk memadam defisit jaringan tewas 0-1 dalam aksi pertama. Pada minit ketiga, Terengganu berpeluang membuka jaringan menerusi tandukan Lazaro Vinicius, namun sedikit keluar sebelah kiri pintu gawang pelawat.


Begitupun, hasil serangan balas skuad Helang Merah berjaya membuahkan hasil apabila Liridon Krasniqi tenang menolak masuk menewaskan Amierul Hakimi Awang pada minit kelima. Pada minit 24, skuad Kedah bimbingan Mohd Nidzam Adzha Yusoff hampir menambah gol kedua, namun bola rembatan Kenilso Larsen berjaya diselamatkan Amierul.


Kesilapan pemain tengah, Abdul Shukur Jusoh menolak bola ke benteng pertahanan disambar Larsen sebelum melakukan rembatan terus menerjah gawang minit 28. Tuan rumah dihadiahkan sepakan percuma di atas garisan kotak penalti, namun masih gagal menghasilkan jaringan apabila sepakan Lazaro tidak menepati sasaran minit 39. Pengendali Terengganu, Irfan Bakti Abu Salim melakukan pertukaran dengan mengeluarkan Abdul Shukur dan membawa masuk Ismail Faruqi Ashaari bagi menghidupkan jentera tengah yang kurang berfungsi.


Dua minit bersambung babak kedua, Kedah bagaikan menutup pintu buat skuad Penyu apabila mengukuhkan kedudukan menerusi awang importnya, Sandro Da Silva yang menggelecek Amierul sebelum menolak masuk gol ketiga permainan.


Sorakan kira-kira 10,000 penyokong yang membanjiri stadium masih gagal membantu Terengganu mendapatkan jaringan hingga pengadil perlawanan, Nagor Amir Noor Mohamad meniupkan wisel penamat. - BH Online


Sumber : http://www.bharian.com.my/node/282226?m=1

 
 
 

Comments


bottom of page