PM HURAI KENAPA MALAYSIA SOKONG INISIATIF 'ONE BELT ONE ROAD' CHINA
- p_k
- May 12, 2017
- 4 min read
Berikut merupakan artikel tulisan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai inisiatif 'One Belt One Road' China, yang disiarkan South China Morning Post pada 12 Mei.
Najib sedang melakukan lawatan kerja lima hari ke China, bermula Jumaat.

KENAPA MALAYSIA SOKONG INISIATIF 'BELT AND ROAD' CHINA
Oleh Najib Tun Razak
Tiga tahun setengah lepas, President Xi Jinping membentangkan visi beliau mengenai Laluan Sutera baharu, satu sorotan semula pada abad ke-21 terhadap satu laluan perdagangan bersejarah yang menghubungkan Timur dan Barat bagi mengangkut rempah-ratus dan barangan berharga, pengetahuan tentang budaya serta ilmu ke wilayah yang terpisah oleh jarak yang jauh. Ia adalah suatu proses ketamadunan dan merupakan waktu ketika wilayah dan empayar pemerintahan di Asia menyedari bahawa khazanah dalam bidang perdagangan serta ilmu pengetahuan amat perlu diperkayakan lagi melalui perdagangan dan perbincangan, bukan melalui peperangan atau perjanjian yang dimeterai secara paksa dan tidak adil.
Saya bertuah kerana dapat berkumpul di Beijing bersama-sama ketua kerajaan dan negara lain untuk menghadiri majlis berkaitan inisiatif "One Belt, One Road", yang dilhamkan Presiden Xi sebagai pengganti kepada Laluan Sutera, yang wujud suatu ketika dulu.
Forum Belt and Road untuk Kerjasama Antarabangsa ini memberi penekanan terhadap perbincangan bersama, pembinaan secara bersama dan perkongsian bersama. Perkara ini amat dialu-alukan dan saya yakin bahawa perjanjian yang akan ditandatangani para peserta kelak, termasuk Malaysia, akan meletakkan kita di landasan kukuh untuk mara ke fasa berikutnya dalam rancangan beliau yang hebat ini.
Antara frasa yang kerap kita dengar daripada China ialah "kerjasama menang-menang", walaupun ada pihak yang berasa ragu apabila mereka mendengarnya.
Bagaimanapun, kami daripada Pertubuhan Negara Asia Tenggara dapat melihat kebenaran yang terkandung di dalamnya apabila kami membuat pertimbangan tentang beberapa projek infrastruktur yang akan mengubah rentak permainan, hasil daripada inisiatif "Belt and Road" itu: sebagai contoh, Projek Kereta Api China-Laos; Projek Kereta Api Laju Jakarta-Bandung; Projek Kereta Api Laju Nakhon Ratchasima-Bangkok; dan, bagi kami sendiri di Malaysia, Projek Rel Pantai Timur. Landasan itu akan memacu ketersambungan serta pertumbuhan ekonomi bagi wilayah pantai timur Malaysia yang masih kurang membangun ketika ini serta menjadi jambatan darat yang akan membolehkan barangan diangkut secara cekap kos dan masa antara Afrika, Timur Tengah dan Asia.
Ia mungkin sesuatu yang tidak masuk akal bagi pembaca di China atau hadirin lain pada forum ini, tetapi hakikatnya, terdapat beberapa ahli politik pembangkang di negara saya yang berkata kami menjual kedaulatan kami apabila bersetuju dengan pelaksanaan projek itu. Bagaimanapun, saya tidak berasa bersalah kerana ingin membina infrastruktur bertaraf dunia untuk Malaysia yang akan memajukan banyak kawasan di negara kami, membawa lebih banyak perdagangan dan peluang kepada rakyat kami, beribu-ribu pekerjaan baharu, taraf kehidupan yang lebih baik serta kemakmuran kepada mereka, tanpa mengorbankan pemilikan rakyat tempatan.
Pada era Laluan Sutera dahulu, mereka yang bijaksana menyedari bahawa keterbukaan minda serta langkah membuka sempadan kepada perdagangan, bukanlah sesuatu yang menggadaikan kedaulatan, malah ia memberi manfaat kepada semua negara. Hakikat itu juga wujud pada hari ini dan kami mengalu-alukan pelaburan daripada semua sahabat dan rakan kongsi, sama seperti Malaysia, sebuah negara kelautan, yang memandang jauh ke hadapan, sentiasa melabur dan menjalin hubungan perdagangan dengan negara dari seluruh dunia, termasuk China.
Baru beberapa bulan lepas, saya berkunjung ke China dan kehangatan serta layanan mesra yang saya serta rakan saya terima, tidak akan kami lupa. Ketika itu, kami menandatangani perjanjian dan persefahaman dengan nilai berjumlah RM144 bilion (HK$258 bilion), yang menjadi bukti tentang keyakinan tinggi pelabur China terhadap Malaysia. Semua itu dibuat dengan berlandaskan alasan kukuh. Sebuah laporan baru-baru ini, yang dihasilkan secara bersama oleh Wharton School of the University of Pennsylvania, menamakan Malaysia sebagai negara terbaik untuk dibuat pelaburan.
Walaupun saya baru sahaja melakukan lawatan itu, tetapi kami sudah dapat melihat hasilnya. Sebagai contoh, pada Mac, Jack Ma daripada Alibaba dan saya melancarkan Zon Perdagangan Bebas Digital pertama dunia di Kuala Lumpur. Ini akan menjadi pemangkin bagi e-dagang dan perusahaan kecil dan sederhana serta bakal menjadi hub premier bagi syarikat berasaskan internet tempatan dan global yang ingin menjadikan Asia Tenggara sebagai sasaran mereka.
Sementara itu, kapal misi litoral yang kami bersetuju untuk beli daripada China, akan mewujudkan peluang pekerjaan di Malaysia dan China -- kerana dua kapal pertama berkenaan sedang dibina masing-masing satu di Malaysia dan China, di samping pemindahan teknologi kepada Malaysia dan membantu menjaga keselamatan semua rakyat Malaysia.
Ini merupakan suatu bukti jelas mengenai kerjasama menang-menang dan sekiranya atas landasan itulah inisiatif Belt and Road akan dibangunkan, maka kita semua patut mengalu-alukannya. Kita semua perlu memberi sumbangan dan menyertainya.
Kita juga perlu mendoakan kejayaannya.
Sementara itu, apabila Asia terus bangkit dan menduduki tempat lebih penting di pentas dunia, model ini akan memastikan kita melaksanakannya sebagai sahabat kepada semua, membantu mereka yang ketinggalan di negara masing-masing dan di bahagian lain dunia serta membukanya kepada kawasan dan rakan kongsi dari serata benua.
Sekarang adalah "Abad Asia", maka marilah kita sama-sama memastikan ia tidak ditandai dengan keadaan huru-hara, perang atau permusuhan yang diwarisi daripada abad lepas. Sebaliknya, marilah kita sama-sama berpegang teguh kepada nilai saling menghormati antara kita, keamanan, keharmonian dan tidak campur tangan dalam hal ehwal negara berdaulat lain. Marilah kita sama-sama melangkah ke hadapan dengan membina laluan baharu perdagangan, yang bukan sahaja tidak menghapuskan yang lain, malah meningkatkan lagi kesejahteraan semua umat manusia.
Saya yakin bahawa forum ini, yang merupakan sebahagian daripada Inisiatif Belt and Road Presiden Xi, akan terbukti merupakan suatu langkah penting u
Comments