top of page

Perdana Menteri : Luang Masa Berkualiti Bersama Keluarga


Perdana Menteri, Dato' Sri Najib Tun Abdul Razak berkongsi foto bersama keluarga beliau bersempena sambutan bulan mulia, bulan penuh keberkatan, bulan Ramadhan Al-Mubarak.


Dalam 'posting' di laman Facebook peribadi beliau, Perdana Menteri meluahkan bahawa masa bersama keluarga sebegini adalah sukar untuk diperoleh. Dek kesibukan dan kekangan masa sebagai Perdana Menteri, beliau bersyukur diberikan peluang dan ruang untuk menikmati masa bersama keluarga tercinta beliau bersama-sama seperti sedia kala.

Mungkin kita melihat ini sebagai perkara biasa. Namun, kita tidak sedar mahupun tahu jadual beliau yang padat sehari harian membuatkan beliau lebih mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia berbanding meluangkan masa berkualiti untuk keluarga. Kita seharusnya bersyukur sentiasa mempunyai masa untuk diri sendiri, jika dibandingkan dengan amanah yang dipegang oleh Perdana Menteri kita, demi kemakmuran rakyat sejagat.


Isterinya, Datin Sri Paduka Rosmah Mansor juga seorang yang sangat sibuk seperti suaminya. "Malaysian First Lady" ini sentiasa menjadi tulang belakang kepada suaminya, membawa pelbagai usaha serta sentiasa mengutamakan kebajikan menerusi program PERMATA yang dibawa ke merata dunia, dalam usaha memperkenalkan sistem pembelajaran terbaik yang dibawa dari Malaysia.


Sesungguhnya, peluang yang diberikan dimanfaatkan sebaiknya untuk Perdana Menteri meluang masa menikmati juadah berbuka puasa bersama ibunda tercinta, YABhg Tun Hajah Rahah dan keluarga besarnya. Jika kita dapat lihat, Tun Rahah masih sihat dan ceria serta sangat gembira dapat bertemu dengan anaknya yang memegang amanah besar sebagaimana yang pernah dipegang oleh Allahyarham suaminya, Tun Abdul Razak.


Bersamalah kita mendoakan kesejahteraan keluarga YAB Perdana Menteri yang kita sanjungi dan sayangi ini. Semoga Dato' Sri Najib terus diberikan kekuatan untuk membawa pelbagai usaha dan ruang bagi rakyat Malaysia menikmati keselesaan hidup di Malaysia serta terus menempa nama baik Malaysia ke persada dunia.


Salam Ramadhan al-Mubarak. Bersamalah kita mengimarahkan bulan mulia ini. Perbanyakkan amal dan ibadah. Nikmatilah masa bersama keluarga dan insan-insan tersayang, sementara kita semua masih diberikan peluang oleh Allah SWT. InsyaAllah.




Sumber: https://www.facebook.com/najibrazak/photos/a.294787430951.156129.157851205951/10154467721465952/?type=3&theater



bottom of page