top of page

HIKAYAT BUBUR LAMBUK?


BUBUR LAMBUK – KEGEMARAN DI BULAN RAMADHAN

Selain, ayam percik, ikan bakar, lemang dan sebagainya, bubur lambuk adalah satu hidangan yang wajib ada sepanjang bulan Ramadhan.

Bubur lambuk atau lambut merupakan sejenis hidangan yang amat masyhur pada bulan puasa di Malaysia. Ia biasanya dimasak secara bergotong-royong di masjid-masjid untuk diagih-agihkan kepada para jemaah sebagai hidangan berbuka puasa.

Untuk mencari bubur lambuk yang enak dan menyelerakan bukan mudah kerana hanya ada tempat tertentu yang menyediakan juadah itu. Periuk demi periuk dikacau dan diisi dengan campuran pelbagai rencah seperti santan, daging, kulit kayu manis, bawang, daun sup dan rempah ratus.

Di Terengganu, selain daripada bahan biasa, kadang-kala kerepok keping mentah dan budu juga ditambah bagi menambah perisa, dan juga ubi keledek, udang kering dan lain-lain. MENARIK KAN?

PERSOALANNYA?

Timbul persoalan, mengapa bubur lambuk menjadi kegilaan dan kesukaan ramai, malah tempahan yang diterima bukan sedikit dari luar Kuala Lumpur. Ada saja yang singgah dan berhenti di depan gerai, membeli bubur lambuk dengan jumlah yang banyak. Belum lagi dikira tempahan menerusi telefon.

Namun kebiasaannya, rakyat Malaysia pelbagai bangsa akan mengambil berkat bubur lambuk yang diberikan secara percuma selepas solat Asar di masjid atau surau berhampiran mereka. Malah, yang bukan beragama Islam juga ada yang menggemari bubur lambuk ini kerana keunikan rasanya yang mampu menambat hati, malah mengenyangkan.

SEJARAH BUBUR LAMBUK

Sejak zaman pemerintahan British, bubur lambuk Masjid Jamek Kampung Baru memang diakui paling popular di negara ini.

Berdasarkan sejarah, resipi bubur lambuk Kampung Baru dicipta seorang lelaki yang dikenali dengan nama Said Bank. Rempah ratus yang digunakan untuk memasak bubur itu dikekalkan sehingga hari ini sejak ia diperkenalkan pada akhir 1950-an.

Sebelum meninggal dunia, Said Bank menurunkan kepakaran memasak kepada imam masjid ketika itu, Mohd Tahir Jaafar. Allahyarham turut memberi amanah agar bubur lambuk yang dikekalkan sebagai juadah berbuka puasa diagihkan secara percuma kepada orang ramai.

Masjid Jamek Kampung Baru dibuka pada tahun 1880-an. Ia adalah hasil permintaan penduduk kampung Melayu tertua di negara ini yang mahukan masjid dibina di tengah-tengah Kuala Lumpur.

Seorang pedagang yang dermawan berasal dari Melaka, Bachik Abdullah menyumbangkan sebidang tanah untuk tujuan itu.

Masjid Jamek Kampung Baru kemudiannya terus menempa sejarah pada tahun 2000 apabila tersenarai dalam The Malaysia Book of Record kerana memasak 100 periuk bubur lambuk secara bergotong-royong. HEBAT !

SEJARAH LAIN?

Sejarah juga mencatatkan dalam hikayat Melayu lama, bubur lambuk tercipta pada zaman pemerintahan Parameswara iaitu Raja Melaka yang pertama.

Parameswara ketika itu menerima kunjungan Maharaja Hun Jen dari Kemboja yang mahukan sejenis makanan yang mudah untuk ditelan tetapi sedap dan berkhasiat.

Namun, sejarah ini tidak mampu dikaitkan dengan bulan puasa.

LAMBANG PERPADUAN

Bubur lambuk menjadi lambang perpaduan dan kesatuan bagi penganut agama Islam setiap kali bulan Ramadhan menjelang adalah kerana penyediaan bubur itu sendiri dilakukan secara bergotong-royong di masjid-masjid sebelum waktu berbuka puasa sepanjang bulan Ramadhan berlangsung.

Adalah menarik untuk dilihat cara satu hidangan mudah seperti semangkuk bubur mampu mengeratkan silaturrahim antara individu dalam sesebuah masyarakat.

Semoga makanan tradisi zaman berzaman ini dapat diteruskan sehingga tidak lapuk dek di masa akan datang. Di mana anda mendapatkan bubur lambuk kegemaran anda? Kongsikan bersama kami. om cari bubur lambuk :)

bottom of page