KERAJAAN AMBIL BERAT KEBAJIKAN PESARA KERAJAAN
- putrajayakingdom
- Jun 14, 2017
- 1 min read

KUALA LUMPUR 14 Jun - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengambil kesempatan berbuka puasa dengan pesara kerajaan termasuk juga mereka yang pernah berkhidmat bersama beliau ketika Najib mula menjadi ahli politik dan berperanan dalam kerajaan.
Hampir 3,000 orang pesara kerajaan hadir memeriahkan majlis dan ini adalah antara rekod tertinggi kehadiran tetamu berbuka puasa di Seri Perdana setakat ini.

Selain pemberian kerusi roda kepada pesara terpilih, Najib dan isteri, Datin Paduka Seri Rosmah Mansor juga ditemani oleh Setiausaha Politik kepada YAB Perdana Menteri, Dato’ Muhammad Khairun Aseh, turut memberikan sumbangan duit raya kepada beberapa buah rumah anak yatim yang turut sama hadir ke majlis berbuka puasa perdana tersebut.

Perdana Menteri dalam blog peribadinya berkata, beliau turut berkongsi dengan para pesara kerajaan tersebut mengenai penambahbaikan yang telah kerajaan lakukan kepada Skim Faedah Persaraan bagi penjawat awam sejak tahun 2009.
“Antaranya, pemberian pencen kepada pegawai lantikan selepas 12 April 1991 yang bersara pilihan diawalkan daripada tarikh mencapai umur persaraan wajib kepada tarikh mencapai umur 55 tahun.
“Selain itu, pembayaran pencen terbitan juga dipanjangkan daripada tempoh 12 tahun setengah kepada 20 tahun daripada tarikh persaraan kepada balu atau duda yang dikahwini dalam persaraan,” katanya dalam blog di www.najibrazak.com di sini semalam.
Tambahnya, kenaikan kadar pencen sebanyak dua peratus turut diberikan setiap tahun mulai 2013 selain kenaikan gaji tahunan bagi pegawai yang bersara wajib pada tarikh sehari sebelum persaraannya untuk pegawai yang belum menerima pergerakan gaji bagi tahun tersebut.
Jelasnya, beliau percaya ini menunjukkan kerajaan sentiasa mengambil berat kebajikan pesara-pesara kerajaan yang telah berbakti kepada negara. - UTUSAN ONLINE
Comments