top of page

PM Berbuka Bersama Warga Kuala Langat

BANTING: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, mahu pembinaan sekolah baharu atau blok tambahan bagi Sekolah Kebangsaan Kebun Baharu di sini, disegerakan. Najib berkata, ia bagi menangani masalah kepadatan pelajar di sekitar Batu 9 dan 10, Kebun Baru, di Telok Panglima Garang, di sini.

"Saya nak ulas mengenai permohonan yang disampaikan kepada saya iaitu penduduk di Batu 10 dan 9 di sini (kini) berkongsi sebuah sekolah. Sebab itu, sekolah ini sudah sesak, menghampiri 2,000 murid.

"Saya mahukan projek ini disegerakan supaya dapat mengurangkan kesesakan sekolah kerana saya diberitahu, bilangan penduduk bertambah setiap tahun.

"Saya beri persetujuan sama ada (dibina) sekolah baharu atau blok tambahan baharu dapat diberikan," katanya pada Majlis Iftar Perdana Menteri Bersama Rakyat Selangor Daerah Kuala Langat di Masjid Nurul Iman di Kebun Baru di sini, malam ini.

Yang turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Selangor, Tan Sri Noh Omar dan Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Datuk Sulaiman Karli, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Dato' Muhammad Khairun Aseh, serta wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN).

Kira-kira 1,000 penduduk kampung, asnaf dan pemimpin masyarakat turut berbuka puasa bersama-sama Najib. Sekolah itu yang sebelum ini dikenali sebagai Sekolah Melayu Kebun Baharu, mula dibuka pada 1951 dengan bilangan pelajar seramai 57 orang sebelum namanya ditukar kepada Sekolah Kebangsaan Kebun Baharu pada 1961.

Beliau turut menyampaikan sumbangan zakat kepada wakil anak yatim dan asnaf serta replika cek elaun sara hidup berjumlah RM1.6 juta kepada Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Langat.

Pada masa sama, Najib turut mengumumkan sejumlah peruntukan bagi membaik pulih Masjid Nurul Iman, Batu 10, Kampung Kebun Baharu. Sementara itu, Najib turut berseloroh bahawa beliau adalah Perdana Menteri pertama yang datang ke kampung itu dan mahu supaya kehadirannya menjadi ingatan penduduk di situ.

"Ada dua hari raya. Mudah-mudahan lawatan ini berpanjangan untuk dua hari raya. Satu raya yang terdekat dan satu lagi 'raya' yang akan datang. "Jadi janganlah lupa kedatangan saya di sini. Mudah-mudahan kita mendapat kebaikan," katanya. Najib kemudian bergerak ke Masjid Al Islah di Kampung Sawah di sini, untuk menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama penduduk setempat.

bottom of page