UCAPAN PERDANA MENTERI MENGENAI PERDAMAIAN DAN PENYATUAN
- putrajayakingdom
- Jun 23, 2017
- 1 min read

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,
Dan Salam 1Malaysia.
Rakyat Malaysia yang dikasihi,
Tak lama lagi, kita akan meninggalkan Ramadan, bulan yang diberkati dan semakin menghampiri bulan kemenangan umat Islam yakni bulan Syawal.
Sungguhpun begitu, kadangkala apabila kita merenungkan keadaan umat Islam di serata dunia, amat sukar untuk kita mengatakan umat Islam sedang menang apabila melihat perbalahan yang berlaku di kalangan umat Islam sendiri, baik di dalam mahupun luar negara.
Situasi ini diburukkan lagi dengan persepsi sesetengah pihak luar yang menganggap Islam sebagai punca kebencian dan keganasan meskipun agama yang sudah lebih 1,400 tahun ini sentiasa menganjurkan kepada perdamaian dan penyatuan sebagai jalan terbaik penyelesaian konflik.
Bersempena dengan semangat kemaafan Syawal yang bakal kunjung tiba nanti, besarlah harapan saya agar umat Islam khususnya di Malaysia menggunakan peluang ini dengan menganjurkan ke arah perdamaian dan penyatuan seperti yang telah diturunkan oleh junjungan kita Nabi Muhammad SAW.
Mungkin kita melihat di luar sana, umat Islam sentiasa berbalah tetapi jangan kita lupa sekiranya kita alpa dan memilih untuk mengamalkan politik kebencian yang melampau adalah tidak mustahil hubungan sesama umat Islam malah dengan bukan Islam di sini juga akan menjadi lebih buruk.
Kemenangan umat Islam hanya bermula apabila mereka saling memaafkan demi penyatuan yang utuh dan semangat kemaafan ini juga dianjurkan untuk hubungan sesama manusia tanpa mengira kepercayaan dan fahaman mereka.
Hanya jiwa yang besar sahaja yang mampu memaafkan dan umat Islam yang berjiwa besar seharusnya memilih jalan yang menjanjikan persefahaman dan bukan sentiasa mahu bercanggah pendapat hanya demi memuaskan kehendak sendiri.
Sekian sahaja dari saya,
Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Comments