top of page
Search

PM UMUM 6 INSENTIF KEPADA PENEROKA FELDA

  • putrajayakingdom
  • Jul 24, 2017
  • 2 min read

PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan enam insentif baharu untuk peneroka FELDA sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Peringkat Kebangsaan 2017.

Perdana Menteri berkata, insentif pertama membabitkan pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih menanam semula melalui FELDA, dengan peruntukan berjumlah RM519 juta.

Katanya, insentif kedua adalah pemberian kelulusan membina lebih satu unit rumah dalam satu tapak di tanah rancangan FELDA.

"Sehingga kini, ada 4,711 peneroka yang mempunyai dua rumah dalam satu tapak, manakala 70,506 tapak rumah lagi dipercayai sesuai untuk dilaksanakan mengikut kaedah ini," katanya ketika berucap pada sambutan berkenaan.

Kira-kira 25,000 peneroka dari 11 wilayah seluruh negara hadir pada sambutan yang julung kali diadakan di Putrajaya.

Perdana Menteri berkata, insentif ketiga adalah dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula berjumlah RM300 juta yang akan diwujudkan tempoh lima tahun bermula 2017 hingga 2021, bagi melupuskan hutang kos operasi melebihi jangkaan RM40,000.

"Insentif keempat adalah pelupusan sebahagian baki pinjaman saham FELDA Global Ventures (FGV), membabitkan 77,934 peneroka dengan baki pinjaman pada kadar ringgit ke ringgit.

"Bagi mereka yang sudah habis membayar pinjaman, ganjaran tunai sebanyak RM1,800 akan diberikan dan ini membabitkan peruntukan sebanyak RM128.1 juta," katanya.

Katanya, bagi insentif geran khas tanam semula peneroka yang diluluskan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kepada FELDA dengan kadar RM7,500 setiap hektar akan diwujudkan bagi program tanam semula FELDA untuk tempoh 2017 hingga 2020.

"Bagi insentif keenam, demi kebajikan warga FELDA, bayaran insentif khas peneroka bernilai RM5,000 akan diberikan kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh, dengan jumlah peruntukan RM474.78 juta. Pembayaran akan mula dibuat pada hujung Ogos ini," katanya.

Selain itu, katanya, FELDA akan memberi peluang kepada 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada FELDA dan peneroka yang menyaman FELDA untuk kembali bermuafakat bersama agensi itu.

"Namun begitu, waktu untuk kembali bermuafakat ini adalah bagi tempoh enam bulan bermula Ogos 2017 dan memenuhi syarat yang ditetapkan FELDA, " katanya.


 
 
 

Comments


bottom of page