top of page
Search

#MERDEKA60 - DI SEBALIK JALUR GEMILANG

  • putrajayakingdom
  • Aug 4, 2017
  • 2 min read

Perjuangan menuntut kemerdekaan dilihat sebagai satu titik penting yang telah membawa kepada terbentuknya Malaysia sebagai sebuah negara bebas dan merdeka. Tahun 2017, maka genap 60 tahun negara kita mencapai kemerdekaannya.

Tarikh 31 Ogos 1957, tepat jam 12 tengah malam menjelang hari yang disifatkan sebagai tarikh keramat bagi seluruh rakyat Malaysia, adalah detik yang paling signifikan dan bersejarah kepada Malaysia sebagai sebuah negara. Ianya menandakan berakhirnya cengkaman penjajah terhadap tanah air kita, Malaysia (ketika itu dikenali sebagai Malaya). Laungan MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA! oleh seluruh rakyat Malaysia sebagai tanda bebas dari belenggu penjajahan hasil daripada perjuangan gigih pejuang-pejuang tanah air dalam menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Apa yang sinonim dengan KEMERDEKAAN?

Sambutan ambang merdeka? Perarakan Hari Merdeka? Ataupun mengenang jasa pejuang-pejuang terdahulu?

Tidak lari daripada ingatan kita semua, JALUR GEMILANG, bendera Malaysia yang semakin gah dikibar ke serata dunia. Hasil rekaan Saudara Mohamed Hamzah ini telah dipersetujui oleh Majlis Perundangan Persekutuan dan diperkenan oleh Majlis Raja-raja Melayu ketika itu.

Tahukah anda makna di sebalik JALUR GEMILANG?

JALUR : Menggambarkan bendera Malaysia mempunyai 14 jalur merah dan putih mewakili bilangan negeri di Malaysia. Ia juga menggambarkan satu haluan yang lurus, hala tuju yang sama dan arah yang sama dianuti oleh rakyat Malaysia.

GEMILANG : Membawa maksud bercahaya, terang-benderang dan cemerlang.

Setiap perincian dalam Jalur Gemilang itu mempunyai maknanya yang tersendiri.

Jalur Putih : Melambangkan kesucian negara

Jalur Merah : Melambangkan keberanian rakyat Malaysia

Warna Biru : Melambangan perpaduan rakyat

Warna Kuning : Melambangkan warna diraja

Bulan Sabit : Melambangkan agama Islam sebagai agama rasmi Persekutuan

Bintang : Melambangkan tanda perpaduan 13 buah negeri dan kerajaan Persekutuan.

Sungguh unik dan mantap makna di sebalik sebuah bendera keramat negara kita ini. Jalur Gemilang adalah lambang kesepakatan, kesejahteraan dan penyatuan rakyat Malaysia, di mana sahaja mereka berpijak di bumi bertuah ini.

MARILAH KITA BERSAMA SEMARAKKAN SEMANGAT PATRIOTISME DALAM DIRI DENGAN MENGIBARKAN DENGAN MEGAH 'JALUR GEMILANG' !!!

AYUH BERSAMA HAYATI TEMA KEMERDEKAAN TAHUN INI : NEGARAKU SEHATI SEJIWA !

 
 
 

Comments


bottom of page